The Most Dangerous Animal of All

The Most Dangerous Animal of All oleh Gary Loyd Stewart

Buku ni sebenarnya aku beli masa jualan Big Bad Wolf 2017, dan sempat baca sikit masa awal tahun lepas, namun kerana penceritaan di bab awalnya sedikit membosankan, maka buku ni ‘diperam’ sampai setahun sebelum aku sambung baca balik pada awal tahun ni.

Jika anda peminat genre kisah benar jenayah (true crimes), maka judul ni patut dibaca kerana ia mengisahkan tentang The Zodiac Killer, salah seorang pembunuh bersiri paling misteri dalam sejarah Amerika Syarikat kerana identiti sebenarnya tidak pernah dibongkar. Malahan kisahnya pernah beberapa kali difilemkan oleh Hollywood, tetapi yang paling mantap bagi aku adalah Zodiac arahan David Fincher dan dibintangi Jake Gyllenhaal dan Robert Downey Jr.

Kisahnya bermula pada tahun 2002 apabila takdir menemukan kembali Gary Loyd Stewart dengan ibu kandungnya, Judith Chandler setelah terpisah sejak beliau dilahirkan 39 tahun lalu. Walaupun bersyukur dengan pertemuan ni, namun bagi Gary, kisahnya tak lengkap selagi beliau tidak bertemu dengan bapa kandungnya. Ibu kandungnya pula agak berahsia mengenai kisah silamnya dengan lelaki tersebut, dan hanya mendedahkan namanya sebagai Van. Dengan maklumat yang sangat terhad ni, Gary memulakan misinya untuk menjejak kembali bapa kandungnya, namun sedikit demi sedikit, fakta-fakta yang ditemuinya mengenai identiti Van membawanya kian hampir kepada The Zodiac Killer!

Bagi aku, kisah Gary ni amat menarik sekali dan agak menggemparkan kerana beliau berjaya merungkai identiti sebenar bapa kandungnya, Earl Van Best Jr. yang dipercayai seorang pembunuh bersiri yang bermaharajalela di San Francisco pada 1960-an! Misinya selama satu dekad ni dibukukan dengan bantuan seorang lagi penulis iaitu Susan Mustafa dan disertai dengan beberapa bukti forensik seperti salinan cap jari yang ditemui di tempat pembunuhan, dan juga perbandingan tulisan bapanya dengan tulisan dalam surat-surat yang dihantar oleh The Zodiac Killer kepada beberapa balai polis dan penerbit akhbar. Judul bukunya pula merujuk kepada maksud sebenar Zodiac yang berasal daripada perkataan Yunani ‘zoion’ iaitu binatang. Dan mengikut ajaran penyembah syaitan Anton LaVey yang diikuti oleh Earl Van Best Jr., manusia adalah ‘binatang yang paling berbahaya’ antara semua.

Namun seperti yang aku katakan awal tadi, pembinaan naratifnya agak membosankan kerana ia dimulakan dengan kisah hidup bapanya sejak kecil, bagaimana beliau berkenalan dan berkahwin lari dengan ibunya yang masih bawah umur ketika tu, hinggalah ke saat Gary yang masih bayi ditinggalkan oleh bapanya di atas tangga sebuah apartment pada tahun 1963. Fasa yang dinamakan sebagai Ice Cream Romance ni walaupun banyak mendedahkan mengenai sejarah awal kehidupan kedua ibu bapa kandungnya yang sering bergolak, namun ia terlalu meleret bagi aku yang tak sabar-sabar nak tahu kisah penyiasatan Gary sebenarnya. Sejujurnya aku rasa buku ni akan lebih menarik jika ia dimulakan dalam konteks penyiasatan Gary setelah bertemu kembali dengan ibu kandungnya.

Namun fasa penyiasatan ni hanya bermula di penghujung buku ni setelah para penulisnya menceritakan mengenai kronologi siri pembunuhan oleh The Zodiac Killer pada tahun 1966 hingga 1969 sebelum beliau ‘lesap’ tanpa sebarang khabar berita. Tapi yang menariknya ketika ni, bekas isteri Earl Van Best Jr./The Zodiac Killer sendiri iaitu Judith Chandler telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Rotea Gilford, seorang detektif yang terlibat secara langsung dengan siasatan kes The Zodiac Killer. Sangat ironik bukan?

Tetapi di sebalik kebosanan dan kemeleretan di satu dua tempat, buku ni disokong dengan bukti-bukti yang agak padu yang disertakan oleh penulisnya, terutamanya apabila huruf EARLVANBESTJR ditemui dalam kod-kod rahsia (dikenali sebagai Zodiac Cipher) yang ditulis oleh The Zodiac Killer dalam surat-suratnya kepada balai polis dan syarikat penerbitan akhbar yang dinyatakan awal tadi! Cuma sayangnya, hasil keputusan ujian DNA untuk mengesahkan Earl Van Best Jr. dan The Zodiac Killer adalah orang yang sama masih tidak terjawab di atas faktor-faktor yang bakal menaikkan darah para pembaca. Faktor ni membuatkan bukti-bukti lain yang disertakan hanyalah sekadar circumstantial evidence semata-mata.

Apa-apa pun, naskhah ni amat berbaloi untuk dibaca sampai habis dan rasanya masih boleh didapati di mana-mana kedai BookXcess. Harapnya adalah mana-mana studio Hollywood yang dapat mengadaptasikan buku ni kepada filem cereka atau dokumentari!

Dipetik daripada Facebook Anaih Ilyia

Share

Antara Produk Terlaris

0
    0
    Your Cart
    Your cart is empty
      Calculate Shipping
      Apply Coupon