Agung Isytihar Darurat

Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos atau lebih awal untuk bendung Covid-19

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan supaya pengisytiharan proklamasi darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsudin, Agong memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos depan atau sehingga tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Menurut Ahmad Fadil, sesi menghadap di antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Agong berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5.30 petang semalam.

“Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan pengisytiharan proklamasi darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian,” katanya.

“Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Jelasnya lagi, Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di negara ini. Baginya, sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama.

“Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi SOP dan semua perintah ditetapkan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

Share

Antara Produk Terlaris

0
    0
    Your Cart
    Your cart is empty
      Calculate Shipping
      Apply Coupon